Pages

Ads 468x60px

Thursday, December 30, 2010

indahnya kasih jika disertai keikhlasan...

Assalamualaikum...! Salam ukhuwah untuk semua... Pastinya sesiapa yang bergelar rakyat Malaysia sedang bergembira ketika ini kerana kejayaan skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF Suzuki 2010 dengan menewaskan Garuda dengan agregat 4-2.... 

Tapi, bukan itu yang kubicarakan pada post kali ini... Awal pagi tadi, aku ada menerima satu artikel dari sahabat merangkap pensyarah Kimi'A' di KMPk (matrik perak) dahulu... Aku berasa terpanggil untuk berkongsi cerita ini dengan sahabat-sahabat sekalian kerana artikel ini ternyata sangat menyentuh hati... Mungkin ada yang telah membacanya, ada juga yang bosan dengan cerita-cerita seperti ini.. Tetapi aku merasakan ia sebagai satu tanggungjawab untuk menyebarkan perkara yang baik dan menghalang perkara yang buruk...

Terkadang kita merasakan bahawa adakala perbuatan yang kita rasa 'biasa-biasa' sahaja kepada sesorang tetapi apabila dibalas, dia membalasnya dengan penuh luar biasa... Terkadang kita menilai sesuatu perkara itu sebagai kecil sahaja, tetapi di mata mereka yang menerimanya terasa amat berharga... Walaupun kita tak  meminta untuk dibalas, balasan yang diberikan sangat hebat....

Cerita ini diambil dari koleksi cerita-cerita motivasi dan aku telah menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu kerana ia sebenarnya di'post'kan dalam bahasa Indonesia... Ceritanya bermula begini:

Aku dilahirkan di kawasan kampung di sebuah pergunungan yang sangat terpencil. Orang tuaku mencari nafkah untuk membiayai keperluan kami dua beradik dengan membajak tanah, menjadi petani yang bekerja di bawah terik mentari yang menyengat. 

Suatu hari, aku sangat menginginkan pakaian yang ketika itu menjadi trend di kota. Aku nekad mencuri wang dari laci bapaku untuk membelinya. Ternyata, bapaku menyedarinya lantas bertanya kepada kami. Kami dihadapkan ke tembok dan ayah melentur-lenturkan rotannya.

"Siapa yang curi duit ayah?" Suaranya menggegar. Langsung aku hilang keberanian untuk berbicara. Senyap. Tiada pengakuan. 
"Baiklah. Ayah rotan kamu berdua sampai ada yang mengaku!" Ayah mengangkat tinggi rotan tua itu. Tiba-tiba, adikku berpaling dan mencengkam tangan ayah.
"Saya yang ambil duit ayah," kata adik perlahan. Menunduk.
"Masuk bilik, kak.." bisik adik padaku. Aku melangkah perlahan meninggalkan ruang hukuman. Tanpa sedar, airmataku berlinangan mendengar libasan rotan bertubi-tubi tetapi adik tidak mengeluarkan sebarang suara. Aku terduduk mengenangkan betapa pengecutnya aku ketika itu. Ayah sangat marah. Ayah hampir kehabisan nafas ketika dia menghentikan hukuman kepada adik.
"Sudah pandai mencuri! Tak tahulah nak jadi apa nanti...!" Ayah nampak sangat kecewa.

Malam itu, aku dan ibu merawat luka-luka adik. Berbirat belakangnya, berdarah tetapi dia langsung tidak menangis. Apabila ibu beredar, tangisku berhamburan. Adik menutup mulutku dengan tangan kecilnya.
"Dah laa kak... Tak payah nangis... Perkara dah jadi pun.. Kalau akak nangis, makin sakit luka saya ni..." Dia cuba berseloroh. Aku tidak akan pernah melupakan senyumannya ketika itu. Dia berusia 8 tahun dan aku 11 tahun.

Aku berjaya menamatkan pengajian di sekolah tinggi dan ditawarkan tempat di universiti tempatan. Pada masa yang sama, adikku tamat sekolah menengah dan ingin masuk ke sekolah tinggi. Orang tua kami kelihatan amat bangga. Malam itu, ayah duduk di halaman sambil menghisap rokok tembakaunya. Aku mendengar dia berkata lirih, "Anak-anak kita anak yang baik... Mereka akan mengubah hidup mereka..." Ibu menyapu airmatanya lalu berkata, "Tidak mungkin kita dapat menampung pendidikan mereka sekaligus..." Serentak itu, adik maju ke hadapan ayah.
"Saya tak nak bersekolah... Dah cukup banyak buku saya baca..." kata adik. Lagi sekali kemarahan ayah tidak terbendung.
"Kau cepat sangat mengalah! Tak payah kau fikirkan soal duit.. Jika perlu ayah akan mengemis untuk sekolahkan kau berdua!" Ayah menengking.

Keesokan harinya, kami digemparkan dengan kehilangan adik. Dia meninggalkan secebis pesanan di bawah bantalku.
Universiti tidak mudah menerima pelajarnya... Akak sangat bertuah... Pergilah kak. Saya akan bekerja untuk mengirim duit pada akak....
Aku menangis semahu-mahunya. Bantal yang aku gunakan untuk meredam suara tangisanku hampir basah dek airmata yang mencurah-curah. Adikku baru berusia 17 tahun. Akhirnya, aku hampir menamatkan pengajian berkat biaya yang ayah pinjam dan duit kiriman adikku yang bekerja sebagai buruh kasar. Pengangkat simen dan batu-bata di kawasan pembinaan.

Suatu hari, aku sedang berada di bilikku. Peperiksaan hampir tiba dan aku perlu mengulangkaji pelajaran. Tiba-tiba, rakan sebilikku memanggil. Katanya ada seorang pemuda kampung datang mencariku. Pantas aku berjalan keluar dan ternampak adikku berdiri di kejauhan. Seluruh badannya kotor, pakaiannya berdebu.
"Mengapa kau tak cakap kau adikku?" tanyaku.
"Saya takut akak malu ada adik macam saya.. Nanti akak kena gelak.." Dia menjawab sambil tersenyum. Mataku mulai bergenang.
"Aku tidak peduli apa orang kata... Engkau adalah adikku, dan tetap adikku walau bagaimana sekalipun penampilanmu..." Aku menyapu debu-debu di badannya lantas memeluknya. Dia mengeluarkan sesuatu dari sakunya dan berkata," Ini untukmu kak.. Sebagai penguat semangat di kala minggu peperiksaan yang menjerihkan." Di tapak tangannya, dia menghulurkan seutas rantai perak yang amat cantik. Sekali lagi, airmataku jatuh membasahi pipi.

Tidak lama kemudian, tiba masa untuk aku menikah. Suamiku seorang pengarah sebuah syarikat dan menawarkan jawatan pengurus kepada adikku. Tetapi adikku tidak mahu. Alasannya, mahu menjaga ibu dan ayah. Aku cuba membawa mereka tinggal bersamaku di bandar. Adikku malah menjawab, "Kakak jagalah keluarga akak saja. Biar saya jaga ibu dan ayah di kampung..."

Suatu hari, adik cuba membaiki kabel elektrik. Dia terjatuh dan terkena kejutan. Dia terpaksa ditahan di wad untuk dirawat. Kakinya patah.
"Kalau kau terima tawaran abang kau hari tu, takkan jadi begini..." Aku mengomel.
"Akak fikirlah, kalau saya terima mesti abang malu... Saya ni budak tak sekolah... Takkan layak jadi pengarah..." Dia menjawab dengan serius.
Aku tersentak. Kulihat mata suamiku juga bergenang dengan airmata.
"Kau tak sekolah sebab aku...." rintihku perlahan.
"Tak payah ungkit perkara lama... Kalau akak terus macam ni, makin sakit kaki saya..." Dia menjawab sambil tersenyum.

Pada usia 30 tahun, adikku menemui jodohnya. Pada majlis penikahannya, juruacara majlis bertanya padanya tentang orang yang paling disayanginya.
"Kakakku!" jawabnya spontan. Lantas dia menyambung dengan cerita yang ternyata sudah hilang dari ingatanku.
"Pada suatu hari ketika kami masih di sekolah rendah, sarung tanganku hilang, sedangkan hari itu sangat sejuk. Kakakku telah memberikan padaku sarung tangannya. Jarak antara rumah dan sekolah sangat jauh dan hari sangat dingin. Sampai di rumah, aku lihat tangan kakak menggigil dengan kuat sehingga tidak dapat makan dengan betul. Sejak hari itu, aku bersumpah yang aku akan lindunginya sampai bila-bila..." Dia mengakhiri ceritanya dengan senyuman.

Tepukan bergema dalam dewan itu. Aku merasakan pandangan hadirin menyesakkan dada dan menyukarkan aku untuk berkata-kata. 
"Aku merasakan tiada sesiapa boleh menggantikan adikku di atas muka bumi ini. Dia adikku dan aku bangga menjadi kakaknya. Aku hidup hari ini kerana ihsannya, kerana usahanya, kerana kasihnya padaku yang sungguh aku rasakan bagai mentari yang bersinar menghapuskan kegelapan..." Aku mengeluarkan kata-kata dengan tersekat-sekat.

Di hadapan hadirin yang ramai, airmataku bercucuran ibarat sungai menerima hujan. 





P/S: Menangis kerana kasih yang diredhai ALLAH! Jangan menangis jika itu hanya mengundang kemurkaan-Nya...

0 comments:

Post a Comment