Pages

Ads 468x60px

Tuesday, April 19, 2011

sebiji epal dan seorang isteri..

 

Assalamualaikum readers.. Selamat petang!

Hari ini aku nak bercerita.. Tiba-tiba rasa nak kongsi satu cerita. Mungkin ada yang dah pernah baca, ada yang tak, ada yang lupa, ada yang buat-buat lupa.. Yang dah baca, refresh memory korang.. ini olahan aku sendiri tau… (padahal tukar ayat sikit-sikit je.. hehe..)

Macam ni kisahnya..


Pemuda itu melepaskan pandangannya jauh menyusuri sungai di hadapannya. Sungai jernih yang tenang itu bagaikan menyegarkan mata yang keletihan dek buku-buku yang baru dikaji sebentar tadi.

Sedang fikirannya melayang dipenuhi fakta-fakta dan rumusan fizik yang memeningkan, terasa getaran aneh di bahagian abdomennya. Baru dia teringat yang sejak pagi dia belum makan. Keroncong perutnya semakin kuat.

Sabda Nabi S.A.W, “Tuhanmu telah berfirman:’Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk beribadah kepada-Ku, maka akan Aku penuhi hatimu dengan rasa kaya dan akan Aku penuhi kedua-dua tanganmu dengan rezeki. Wahai anak Adam, janganlah kamu menjauhi Aku, maka aku akan memenuhi hatimu dengan kefakiran dan kedua-dua tanganmu dengan kesibukan.”

(Hadith riwayat Imam al-Hakim daripada Mu’aqqal bin Yassar r.a)

Mata pemuda itu meliar ke kiri kanan, mencari buah-buahan yang boleh dimakan. Spontan, bibirnya mengucap syukur apabila terpandang epal yang hanyut dibawa arus sungai.

“Masih elok," gumamnya.

****************

Terkumat-kamit bibir membaca 3 Qul, seperti lazimnya dilakukan sebelum tidur. Entah kenapa dia gelisah. Tidurnya tidak lena.

Dia terjaga di suatu padang yang menghijau. Tiada pohon kelihatan, hanya padang rata. Di kejauhan, dia terlihat seorang tua berjalan perlahan ke arahnya.

“Assalamualaikum..,” sapa orang tua itu.

“Waalaikumussalam warahmatullahi ta’ala wabarakatuh,” jawab pemuda itu seiring dengan sunnah Rasul S.A.W.

“Ketahuilah anakku bahawa Nabimu pernah bersabda,

Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak untuknya.”

(Hadith riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim)

Orang tua itu hilang dalam kepulan asap, meninggalkan gema suara yang mengulang-ulang hadith yang sama.

Azan subuh yang mengegar jiwa-jiwa yang merindukan belaian kasih Tuhan membuatkan pemuda itu terjaga.

“Astaghfirullah.. Maksud apakah mimpiku tadi? Adakah aku telah termakan rezeki yang haram?” Pemuda itu tertanya-tanya. Keliru. Hampir tidak khusyuk solat subuhnya pagi itu lantaran kekusutan dan rasa ingin tahu tentang maksud mimpinya malam tadi.

Pemuda itu mengambil keputusan untuk berehat di tepi sungai, tempat kegemarannya. Sambil berbaring merenung langit, dia leka dibuai keinginan untuk mengetahui maksud perkataan si tua dalam mimpinya itu. Matanya, tiba-tiba terlihat sekelompok awan yang berbentuk epal.

Maka, teringatlah dia akan epal yang dimakan semalam. Tidak dibeli dari tuannya, tidak juga menjadi haknya yang sah kerana tiada orang yang memberi.

“Alangkah malang nasibku kalau dibakar api neraka Allah kerana sebiji epal..” Pemuda itu menangis hiba, takut dengan azab Allah S.W.T. Pantas, pemuda itu bangun lalu berjalan ke arah hulu sungai, berharap agar bertemu dengan tuan epal itu.

Langkahnya terhenti apabila dia terpandang ladang epal yang cukup luas. Pemuda itu menuju ke sebatang pokok, yang mana dahannya terjuntai betul-betul di atas sungai.

“Inilah pokoknya..,” katanya dalam hati.

Pemuda itu melabuhkan punggungnya di perdu pokok itu sambil menunggu jikalau tuan empunya kebun datang menjenguk. Dengan izin Allah SWT, maka pemuda itu tertidurlah dengan nyenyaknya akibat dibuai angin lembut.

Waktu hampir asar, baru pemuda itu terjaga. Langkah dihala ke tebing sungai, menyempurnakan wudhuk. Tanpa dia sedari, sepasang mata asyik memerhatikan lagaknya.

Usai solat Zohor, pemuda itu kembali ke bawah pokok itu sebelum dia disapa oleh seseorang.

“Assalamualaikum, anak muda.”

“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh…” sahut pemuda itu seraya berpaling. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat orang tua di hadapannya itu adalah si tua yang sama di dalam mimpinya.

“Aku lihat engkau ini seperti hilang arah. Kenapa, nak?” tanya pak cik itu sambil tersenyum.

“Apakah pakcik tuan ladang ini? Apakah pokok epal ini pakcik yang punya?” tanya pemuda itu.

“Ya. Alhamdulillah atas rezeki yang Tuhanku kurniakan.” Jawapan ringkas.

“Jika aku ingin bercerita, sudikah pakcik mendengarnya?” tanya pemuda itu lagi.

“Silakan. Aku ada sepanjang hari untukmu.”

“Ada seorang pemuda yang mengabdikan seluruh hidupnya kepada ilmu. Pada suatu hari, dia sedang asyik menela’ah buku-buku di pinggir sungai yang sungguh menenangkan. Hingga pada suatu ketika, dia tersedar yang dia sangat lapar. Rezeki Allah untuknya, dia terlihat sebiji epal dihanyut arus sungai. Dia ambil lalu makan. Keesokan harinya, dia tersedar yang epal yang dimakannya itu haram dan setiap yang haram itu akan dibakar neraka Allah SWT. Dia mencari tuan kepada epal itu untuk minta dihalalkan dengan apa cara sekali pun. Ketahuilah pakcik, pemuda itu adalah saya dan tuan epal itu adalah pakcik.” Pemuda itu mengakhiri bicara dengan tangisan.

“Kuhalalkan epal itu untukmu jika kamu setuju untuk bekerja denganku selama 3 bulan..,” kata pakcik itu.

********************

Selama tiga bulan pemuda itu bekerja di ladang pakcik tersebut, langsung dia tidak melupakan cintanya terhadap ilmu. Buku sentiasa di tangannya tatkala ada masa kelapangan.

Pada suatu hari, pakcik itu menjemput pemuda itu ke rumahnya.

“Anakku, mahukah engkau mendengar satu cerita?” tanya pakcik itu.

“Silakan jika tuan sudi..”

“Di sebuah kampung, hidup seorang gadis bisu, pekak dan buta. Dia hidup bersama ayahnya yang tua. Dia anak yang baik. Menjaga ayahnya dengan baik. Menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang anak dengan baik. Ibunya telah meninggal dunia lama dulu. Kini ayahnya juga mulai sakit-sakit dan ayahnya risau akan keselamatan anaknya jika dia meninggalkan dunia ini tanpa mencari seorang suami untuknya. Ketahuilah anakku yang ayahnya itu adalah aku.. Dan aku mahu engkau menjadi suaminya.” Pakcik tua itu mengakhiri ceritanya dengan airmata.

“Dengan lafaz bismillah, aku sudi..,” ucap pemuda itu.

Dengan majlis kecil-kecilan, maka telah sahlah pemuda itu menjadi suami kepada anak tuan ladang epal.

Kaki pemuda itu menggeletar tatkala melangkah ke dalam kamar tidur pengantin, melihat wajah isterinya buat pertama kali.

“Assalamualaikum…” Bergetar suaranya memberi salam, terlupa akan hakikat yang isterinya seorang yang bisu dan pekak.

“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh..” Halus suara membalas salam, membuat si pemuda terkedu.

“Abang terkejut?” tanya si isteri.

“Mahukah abang mendengar satu cerita?” tanya si isteri lagi.

“Dah tentu… Silakan..”

“Di sebuah kampung, pasangan suami isteri telah mendapat seorang anak perempuan yang sihat. Si suami bekerja sebagai petani dan si isteri pula memenuhi tugasnya sebagai ibu sepenuh masa. Tatkala, si anak mencecah umur 6 tahun, si ibu meninggal dunia akibat sakit. Si ayah lah yang menjaga anak itu sampai dia dewasa. Dari kecil, si ayah selalu berpesan: Jadilah engkau bagai si buta, dari melihat perkara-perkara yang dikeji Allah SWT… Jadilah engkau bagai si tuli, dari mendengar perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT… Jadilah engkau bagai si bisu, dari berkata sesuatu yang menyakiti saudara-saudaramu kerana Nabi SAW pernah bersabda:

Seseorang hamba yang berkata tentang perkara yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh timur dan barat.”

(Hadith riwayat Muslim)

Ketahuilah wahai suamiku, akulah anak kepada si petani itu.” Senyuman menghiasi wajah putih bersih si isteri.

Si suami tersenyum dan berkata,” Aku bersyukur kerana mendapat isteri yang bisu, tuli dan buta sepertimu..”


Macam mana?

Thanks sebab sudi baca.. Kalo ada salah silap, tegur-tegur la.. =)

P/S: Hmm.. Masih ada ke pemuda macam dalam cerita tu? Pemuda yang jaga waktu solat, cinta akan ilmu, jujur.. Masih ada ke gadis yang buta, tuli dan bisu macam tu? Pemudi yang tak pernah pandang lelaki yang bukan mahramnya, tak pernah tengok aurat orang.. Jaga orang tua.. Wahh.. Bertuahnya badan kalau ada.. =D

0 comments:

Post a Comment